Tradisi.

TEMBAKAN MERIAM :
TRADISI MALAM 1 RAMADAN ORANG MELAYU YANG TELAH HILANG

Ustaz Hasanuddin Yusof

Jika kita hidup seratus tahun lalu, maka pada malam ini kita akan menyaksikan satu suasana yang sangat meriah di mana bunyi tembakan meriam akan saling sahut menyahut menyebabkan dentumannya memenuhi segenap ruang udara.
Pada zaman itu, kebanyakan masjid memiliki meriam yang kebiasaannya diletakkan di halaman masjid.

Meriam-meriam ini berfungsi sebagai alat pengumuman peristiwa penting termasuk kedatangan bulan Ramadan.
Perkara ini saya pernah nukilkan dalam salah satu artikel bertajuk “Budaya Mewakaf Meriam Pada Institusi Masjid Dalam Masyarakat Melayu Sebelum Abad Ke-20″ terbitan Jurnal Melayu.

Seratus tahun lalu, di sepanjang Sungai Perak yang memiliki kepadatan penduduk yang tinggi di negeri Perak, bunyi meriam bersahut-sahutan dari Kuala Kangsar hingga ke Teluk Intan.
Tembakan meriam kebiasaannya diletuskan selepas solat Maghrib yang menandakan bahawa selepas solat Isyak adanya solat Tarawikh dan seterusnya menandakan esok mulanya ibadah puasa.

Tradisi meletuskan tembakan meriam menjelang Ramadan tidak hanya berlaku pada awal abad ke-20, bahkan jauh sebelum itu.
Seorang duta Belanda ke Pattani telah menyatakan dalam laporannya pada tahun 1602 bahawa ketika kedatangan peristiwa penting termasuk malam satu Ramadan, maka tembakan dari Meriam Agung Pattani akan diletuskan yang mana bunyinya boleh didengar sejauh 40 kilometer.

Maka pada hari ini kita masih boleh lagi mendapati meriam-meriam lama yang diletakkan di halaman sebahagian masjid-masjid tua di negara kita.
Seiring berkembangnya teknologi, maka meriam tidak lagi digunakan hingga menyebabkan tradisi ini telah hilang dan pupus.

Gambar : meriam di halaman Masjid Kota Lama Kanan, Perak.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam